Disebabkan kesempitan hidup, Abdol Wahab Musa serta keluarganya terpaksa bersempit di dalam sebuah flat satu bilik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sentul yang didiaminya sejak hampir 4 tahun lalu bersama 16 orang ahli keluarganya.
Wahab, 53, mempunyai 15 orang anak dan sebahagian daripadanya sudah berkahwin serta menetap di tempat lain.
Dia menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan menjual air, makanan ringan dan buah-buahan tanpa lesen berdekatan Dataran Merdeka pada setiap malam dengan menggunakan bantuan daripada Baitumal sebanyak RM700 setiap bulan sebagai modal perniagaan.
"Anak-anak saya akan mula berniaga setiap malam dari pukul 10 malam sampai 6 pagi.
"Selepas habis berniaga, ada di antara kami – anak lelaki saya – akan tidur sekejap sebelum pergi bekerja pada siang hari," katanya ketika dikunjungi The Malaysian Insider di rumahnya.
The Malaysian Insider menemui Wahab dengan bantuan sebuah organisasi bukan kerajaan yang melakukan khidmat masyarakat dikenali sebagai Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) Kuala Lumpur.
Wahab berkata, setiap malam anak-anaknya akan menolak 3 hingga 5 buah troli berisi barangan perniagaan mereka dari Stesen LRT Sentul ke Dataran Merdeka.
Katanya, dia dan isterinya Ruslelawati Mohd Ali, 43, kini tidak dapat membantu berniaga seperti sebelum ini kerana menjaga isterinya yang perlu diawasi sejak wanita itu mengalami ketidakseimbangan mental 2 tahun lalu.
Ia berpunca daripada kejadian mereka dihalau berniaga oleh pihak berkuasa, ketika mana isterinya turut mengalami kecederaan di tangan.
Katanya, Ruslelawati mengalami ketidakseimbangan mental kerana trauma dengan tindakan keras pihak berkuasa berkenaan.
"Doktor sarankan isteri saya duduk di rumah dan saya perlu sentiasa ada bersamanya supaya dia tidak melakukan apa-apa yang tidak diingini kepada anak-anak kami yang kecil dan 2 orang cucu kami," katanya.
Selain daripada itu, Ruslelawati turut menghidapi kencing manis dan darah tinggi.
Dia perlu mendapatkan rawatan untuk kesemua penyakitnya itu sebanyak 4 hingga 5 kali sebulan di hospital kerajaan, pada kos RM5 bagi setiap kali rawatan.
Namun pada bulan lepas, mereka akhirnya berjaya mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU) mental untuk Ruslelawati selepas 2 tahun membuat permohonan.
Tidur bergilir dalam rumah tidak selesa
Ketika The Malaysian Insider mengunjungi kediaman mereka pada jam 10 pagi baru-baru ini, seramai 11 orang terdiri daripada anak menantu serta cucunya sedang tidur bergelimpangan di ruang tamu yang hanya sebesar kira-kira 11 x 12 kaki persegi itu.
Barangan perniagaan mereka turut dimuatkan di ruang yang sekangkang kera itu.
Wahab berkata, kerana keadaan rumah yang sempit, mereka terpaksa tidur bergilir dan kadangkala beberapa orang anaknya terpaksa menumpang tidur di masjid, surau, dataran atau kaki lima berdekatan.
"Mereka cakap, tak selesa tidur sempit-sempit macam ini. Tapi mereka akan balik ke rumah, sambung tidur, lepas salah seorang daripada mereka yang tidur di rumah bangun (daripada tidur)," katanya.
Keperitan hidup itu juga ditambah dengan bilik air yang mengalami kerosakan sebelum ini sehingga mereka sekeluarga terpaksa menggunakan tandas di stesen minyak berdekatan rumah itu.
Namun, selepas dibantu Zurianty Sudin dari Unggas baru-baru ini, bilik air di rumah itu kini dapat digunakan semula.
Anak berhenti sekolah seawal 13 tahun
Menurutnya, anak-anaknya memilih untuk menamatkan persekolahan pada usia 13 tahun kerana keadaan rumah yang tidak selesa untuk belajar dan kos perbelanjaan sekolah lain yang perlu ditanggung.
"Anak saya yang umur 12 tahun mendapat 3A 2B dalam peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Keputusan sebenar belum tahu lagi (ketika temu bual diadakan).
"Dia pun tak mahu sambung belajar, sebab susah belajar di rumah ini," katanya
Bagaimanapun, Wahab berkata, anak sulungnya Nor Hanisah, 30, berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di peringkat ijazah sarjana muda.
"Dia tidak tinggal dengan kami. Tak datang melawat kami. Cuma hubungi kami sekali-sekala bertanya khabar. Mungkin dia malu dengan keadaan keluarga. Kami pun tak paksa," katanya seolah-olah menyembunyikan rasa sedihnya
0 Response to "TAK SANGKA YA.. DISEBUAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI.. ADA RAKYATNYA HIDUP BEGINI.."
Post a Comment