PIYA DEDAH DISERANG 7 LELAKI BERMOTOSIKAL SEBELUM TERSEBAR BERITA PALSU KEMATIAN NYA

KOTA BHARU: Sebelum kes viral yang mendakwa kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Mohd Radzi meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan, Sabtu lalu, pemain itu 'diserang' sekumpulan tujuh lelaki bermotosikal di lampu isyarat Jalan Hospital Beret 12 di sini. 

Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, 34, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika dia memandu kereta PERODUA Kelisa dan berhenti di lampu isyarat terbabit. "Saya melihat tujuh lelaki yang menunggang enam motosikal menghampiri kereta saya, kemudian seorang daripada mereka turun dan menyembur gas pemadam api ke arah kereta saya. Saya panik dan terus memecut laju untuk menyelamatkan diri.

 "Alhamdulillah, saya tidak sempat diapa-apakan kumpulan lelaki terbabit, namun selepas berita palsu kematian saya tersebar pada hari yang sama, saya terfikir adakah kejadian itu mempunyai kaitan dengan individu yang membuat fitnah berkenaan," katanya. 
Kelmarin, Piya membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini, pada jam 12.36 tengah hari supaya siasatan dijalankan terhadap individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita kematiannya selepas terbabit dalam kemalangan di sini, Sabtu lalu. 

Kapten TRW itu turut meminta individu yang bertanggungjawab itu tampil memohon maaf dan sekiranya enggan, Piya menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Viral mengenai kematian Piya mula tersebar di laman sosial Facebook pada Sabtu lalu, selepas seorang individu memuat naik status 'Allahuakbar! Innalilah.

Kapten kito x dok doh baru sakni excident di KB (Kapten kita sudah tiada, baharu saja tadi, kemalangan di Kota Bharu). Turut disertakan gambar Piya dan kereta berwarna merah yang dikatakan milik pemain itu. Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kes itu kini dalam siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). 


"Jangan ambil kesempatan dengan viral perkara yang tidak benar sama ada di laman sosial seperti Twitter, Facebook atau apa sahaja. "Dalam Islam, berdosa sebar benda yang tak betul, apatah lagi berkaitan kematian, bimbang masyarakat mudah percaya," katanya ketika ditemui dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Bharu dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di sini, semalam. -BH

0 Response to "PIYA DEDAH DISERANG 7 LELAKI BERMOTOSIKAL SEBELUM TERSEBAR BERITA PALSU KEMATIAN NYA"

Post a Comment