BAYI MENINGGAL DI TASKA AKIBAT RADANG PARU²


GEORGE TOWN - Seorang bayi perempuan yang berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska di Gelugor, semalam.

Nur Ariana Safiyyah Mohammad Shauqi, dihantar ke taska berkenaan oleh ibunya, Nur Farhana Ros Nazri, 26, pada jam 7 pagi. Namun pihak taska memaklumkan yang bayinya mempunyai masalah kesihatan kira-kira sejam setengah kemudian.

Bapanya, Mohammad Shauqi Zainondin, 26, kemudiannya membawa anak sulung mereka itu ke sebuah klinik berhampiran dan doktor memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia. 

"Isteri saya menghantar anak kami ke taska itu sebelum ke tempat kerja di Nibong Tebal. Jam 8.30 pagi, isteri menghubungi saya memaklumkan pihak taska memberitahu anak kami lembik dan sesak nafas ketika pengasuh mahu menukar pakaiannya.

"Sebaik mendapat panggilan itu, saya bergegas membawa anak kami ke klinik. Luluh hati saya apabila doktor memberitahu bahawa anak kami sudah meninggal. Lebih menyedihkan apabila melihat darah kering di hidung serta terdapat tompokan darah di baju selain ada kesan lebam di pipi. 

Mohammad Shauqi yang bekerja sebagai juruelektrik di Rapid Penang berkata, anak mereka baru 3 hari dihantar ke taska tersebut selepas isterinya yang merupakan penjawat awam mula bertugas minggu lalu. 

"Memang saya reda dengan pemergian bayi kami tetapi sebagai bapa saya juga mahu keadilan sewajarnya," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Pulau Pinang. 

Laporan awal bedah siasat mendapati, Nur Ariana Safiyyah meninggal dunia akibat radang paru-paru. 

Jenazah bagaimanapun telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kau, Guar Chempedak, Kedah, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, tiada unsur jenayah dalam kes itu setakat ini.

0 Response to "BAYI MENINGGAL DI TASKA AKIBAT RADANG PARU²"

Post a Comment